Khamis, 28 Januari 2016

Kerajaan Andalusia

Kejayaan pasukan Tariq ibn Ziyad menguasai kota Andalus pada tahun 711M sehingga ke tampuk kerajaan“Nasriyyah” atau “Bani Ahmar” yang mengakhirinya pada tahun 1492M, pernah melakarkan catatan pemerintahan Islam yang hebat. Tempoh tersebut hampir mencapai lapan abad! 800 tahun, suatu jarak yang seharusnya menjadi renungan  buat masyarakat Islam di seluruh dunia.

Tempoh tersebut membuktikan betapa kemunculan Tamadun Barat ada kaitannya dengan kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di Andalus. Ketika itulah dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang megah dengan munculnya tokoh-tokoh Islam kawakan seperti Ibn Hazm (994M-1064M), Ibn Rushd (1126M-1198M), Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr (1091-1162M) dan ramai lagi. Termasuklah golongan elit Kristian yang dipimpin oleh filosof terkenal Thomas Aquinas (1225M-1274M) dan Maimonides (1135M-1205M), seorang ahli teologi yang pernah terkenal di Andalus ketika pemerintahan Islam, sedangkan beliau berbangsa Yahudi.

Kejayaan Islam membina ketamadunan di Andalus, sesungguhnya sesuatu yang sangat mengkagumkan. Lebih memberi kesan jika ia turut ditinjau dari aspek perkembangan dan kejatuhan Andalusia itu sendiri demi mencari kesimpulan yang baik oleh kita semua.

Secara integral, para sejarawan bersepakat menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Andalusia adalah di bawah pimpinan Tariq ibn Ziyad. Beliau adalah tokoh Islam terkenal telah memimpin pasukan tenteranya mengharungi Gibraltar (asalnya Jabal Tariq) yang memiliki kedudukan strategik pintu gerbang para pedagang antarabangsa, di mana para pedagang lazimnya menggunakan laluan tersebut bagi mengharungi lautan Atlantik dan Mediterranian.

Sebelum pembukaan Islam, wilayah Andalus dimonopoli secara rakus oleh golongan bangsawan (noble lord) sehingga berlaku penindasan terhadap golongan bawahan. Krisis ini menyebabkan ramai rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan pihak pentadbiran negara mereka. Kesannya menyebabkan banyak tanah pertanian terbiar beku, industri-industri terpaksa ditutup dan ia sekaligus melumpuhkan ekonomi Andalus.

Menyedari kepincangan itu, Gabenor “Visigothic” (Visigoth) iaitu Count Julian berpaling tadah dan menentang Raja Don Roderick, beliau turut bekerjasama dengan Tariq ibn Ziyad untuk mengembalikan keadilan di wilayah tersebut. Pendirian Julian itu juga diriwayatkan ada kaitannya dengan tindakan Don Roderick yang merogol isteri dan anak perempuannya.

Tariq ibn Ziyad memimpin pasukan Islam hanya berjumlah 7000 orang, berdepan pula dengan tentera Don Roderick yang berjumlah seramai 100 000 orang. Lalu bagi meningkatkan semangat pasukan tenteranya di perlawanan yang tidak seimbang ini, dikatakan bahawa Tariq ibn Ziyad mengarahkan agar kapal mereka dibakar sambil digambarkan beliau berpidato;
أيها الناس؛ أين المفرُّ؟! والبحر من ورائكم والعدوُّ أمامكم، فليس لكم والله! إلاَّ الصدق والصبر
"Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran..."

Kalimat tersebut dikobarkan oleh Tariq ibn Ziyad bagi menaikkan semangat pasukan tentera Islam dan akhirnya tercatat dalam sejarah penyebaran Islam ke Andalus. Walau bagaimanapun ia diragui oleh sesetengah pengkaji terutama hal yang melibatkan pembakaran kapal kerana usaha menakluk Andalusia pada peringkat pertama melalui jalan laut sebenarnya dirintis awal oleh Tarif ibn Malik atau dikenali Abu Zurah bin Malik al-Nakha'ei.

Tarif yang mula-mula bersama kekuatan pasukan armada laut bagi meraih jalan ke arah penaklukan Semenanjung Iberia itu. Hal itu telah mendorong Gabenor Qayrawan, Musa ibn Nusair dan seterusnya Tariq ibn Ziyad bergerak bersama demi menakluk Andalus. Oleh itu ada keraguan bagi Tariq mengarahkan kapal dibakar kerana sepatutnya Tarif yang lebih layak memerintahkan begitu. Kerana Tarif memimpin kekuatan armada, sedangkan Tariq memimpin kekuatan artileri.

Kemenangan tentera Islam menguasai medan Gibraltar telah membuka ruang untuk pasukan Islam terus menguasai Andalus sehingga Tariq dapat meneruskan penguasaan ke Cordova dan Toledo. Kemenangan demi kemenangan dapat dicapai oleh tentera Islam dalam usaha melebarkan kerajaan Islam di bumi Eropah termasuk Bandar Zaragoza, Leon, Malaga, Sevilla dan beberapa buah bandar lain.

Sejak dari itu, Islam mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan bermulalah penguasaan Bani Umayyah di Andalus. Khalifah Bani Umayyah yang berpusat di Dimashq telah mewakilkan beberapa orang Gabenor untuk mentadbir Andalus. Seramai 20 orang Gabenor telah mentadbir Andalus dari tahun 718-756M. Gabenor yang pertama ialah Abdul Aziz ibn Musa ibn Nusayr dan yang terakhir ialah Yusuf ibn Abdul Rahman al-Fihri.

Apa yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalus ini ialah pemerintahannya kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah, walaupun kerajaan Bani Abbasiyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada tahun 132H/ 750M. Ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam yang memimpin majoriti umat Islam sudah beralih kepada Bani Abbasiyah, namun Andalus terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah.

Fakta sejarah mengakui bahawa sebelum Islam membuka Andalus, masyarakat Kristian Eropah hidup di dalam kejahilan dan kegelapan pimpinan Roderick. Lantas, usaha-usaha dilakukan oleh pemerintah Islam di Andalus telah memberikan impak positif sehingga Barat kemudiannya dapat membina tamadun mereka yang membanggakan pada hari ini.

Pada peringkat awal, pemerintah Islam berjaya mengawal masyarakat di Andalus walaupun mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Ada di kalangan mereka berbangsa Yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain. Kecemerlangan dapat dicapai apabila masyarakat berbilang kaum ini dapat dijaga dengan sempurna. Namun, antara punca kejatuhan kerajaan Islam Andalusia ini juga turut disebabkan oleh kepelbagaian budaya yang merenggangkan hubungan erat sesama mereka. Fahaman racist yang menebal akhirnya mengakibatkan Andalus turut menjadi lemah.

Sebenarnya pemerintahan Islam di Andalus berjaya menjamin hak-hak asasi kaum lain sehingga mereka boleh membantu dalam usaha meninggikan tamadunnya. Gambaran ini dapat difahami menunjukkan bahawa perpaduan antara kaum berasaskan jaminan terhadap hak-hak kaum minoriti sebenarnya mampu mewujudkan kestabilan selagi mana ia tidak bertentangan dengan akhlak Islam. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan tamadun Islam Andalus menguasai dunia dan meniti di bibir umat manusia.

Namun begitu, seakan sudah menjadi lumrah zaman bahawa di sana ada kitaran ketamadunan seperti yang dibicarakan oleh Ibn Khaldun di dalam "Muqaddimah"-nya sebagai sunnatuLlah. Kitaran ketamadunan yang dibicarakan Ibn Khaldun di dalam kitabnya, dan pernah dikembangkan lagi oleh Syeikh Rashid Redha sebagai sunanul kawniyah, menyebabkan kita berfikir bahawa segala apa yang berada dipuncak pasti akan melalui tempoh kejatuhan.

Kitaran inilah yang turut melanda Andalus sehingga kejayaan yang dibina semakin lama semakin menyusut dan menunjukkan ketidakmampuan untuk dipertahankan. Apa yang dimaksudkan ialah ketidakmampuan untuk mempertahankan penguasaan Islam di sana dari sudut prestasi politik pentadbiran, bukannya dari sudut kecemerlangan intelektual dan fizikal.

Kejatuhan Andalus tidak berlaku sekelip mata, tetapi melalui proses yang panjang. Sayangnya, tiada dikalangan pemimpin umat Islam ketika itu yang berjaya mempertahankan Andalus. Tiada Salahuddin Al Ayubi, tiada Saifuddin Qutuz, dan tiada Muhamad al-Fateh. Bibit-bibit kejatuhan bermula setelah pemerintahan Andalus dijuzukkan kepada kerajaan-kerajaan kecil.

Andalusia yang diperintah oleh satu kerajaan, satu khalifah, berpecah menjadi 20 buah kerajaan kecil. Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa'if, ia wujud disebabkan semangat puak, sikap fanatik terhadap bangsa. Mereka tidak langsung berpegang kepada semangat Ukhuwwah Islamiyah dan seakan menjurus kepada ketuanan kaum sesama sendiri.

Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Cordova menghadapi masalah dalaman iaitu bergaduh dan bercakaran, malah ada yang saling menindas untuk merebut kuasa khalifah dan penguasaan wilayah. Akibatnya, Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai "al-Qurtubah" akhirnya menjadi bandar yang terakhir jatuh sepenuhnya ke atas Raja Ferdinand. Ia berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Andalus di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir di Granada dari tahun 620H-897H. Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamatkan maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada digulingkan dengan cara yang lebih teruk.

Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah gugup dan menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang masyhur iaitu istana Al-Hamra' atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.

Berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, pergolakan anak-beranak diraja berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada. Sikap Abu Abdullah yang hilang pertimbangan dan tidak berpuas hati dengan pewarisan takhta yang diputuskan oleh bapanya, menyebabkan beliau memberontak sehingga sanggup mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta pemerintahan tetap tidak menyebelahi Abu Abdullah.

Tetapi kerakusan Abu Abdullah tidak padam, bahkan perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama dengan Raja Ferdinand untuk merampas kembali takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang relatif disebabkan tekanan dari Ferdinand untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak bukan ialah penyerahan wilayah Granada kepada kerajaan Ferdinand, lantas masyhurlah Ferdinand yang beristerikan Isabella itu sebagai satu-satunya raja yang berjaya menumbangkan kerajaan Islam di Andalus.

Kejatuhan Andalus rupanya adalah kelemahan pemerintahan sanggup menggadai prinsip demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya mampu dicapai buat sementara waktu sahaja. Selain itu ia turut disebabkan beberapa faktor internal dan eksternal, iaitu :
  1. Tiada mekanisme dalam mencari pengganti yang layak untuk meneruskan pemerintahan di Andalus. Kebanyakan mereka hanya mewariskan kepimpinan melalui sistem monarki yang pada waktu itu sudah korup, tiada akauntibiliti dan hilang integriti di mata rakyat.
  2. Tiada wala' terhadap khalifah yang sah mentadbir kerajaan. Masing-masing menyimpan hasrat untuk menguasai wilayah pemerintahan sehingga berlaku perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
  3. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.
  4. Perbezaan fikrah yang wujud sehingga hilang adabul ikhtilaf di kalangan mereka, lalu perbezaan tersebut banyak membawa jatuh-menjatuhkan, runtuh-meruntuhkan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.
  5. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Kesan daripada faktor-faktor inilah umat Islam dibunuh atas restu Pope dan ada yang dihalau keluar dari Andalusia, bahkan ada di antara mereka yang terus diperangi lagi dan lagi walaupun sudah bersedia keluar dari Andalusia. Musibah ini turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah seterusnya runtuh.

Isnin, 25 Januari 2016

Hanya Memuji tatkala nikmat?

Ada orang yang mengikut ajaran Islam, tatkala mendapat NIKMAT, gembira lalu memuji-muji agama ini dan usaha diri mereka. Namun apabila kerana mengikut arahan agama ini lalu mereka mendapat KESUSAHAN, kerugian dan sepertinya, mereka mula mengutuk agama ini sebagai, mengongkong, buruk dan mundur.

Mereka menunggang agama untuk manfaat yang disukai nafsu sahaja..

Rugilah mereka yang sedemikian sebagaimana telah diperingatkan oleh Allah swt

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللهَ عَلَىٰ حَرْفٍ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata. (Al-Hajj : 11)

- Muhasabah Diri-

Jumaat, 22 Januari 2016

Kasih dan benci

Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

"Sesiapa yang kasihkan seseorang semata-mata kerana Allah, membenci (kepada seseorang) semata-mata kerana Allah, tidak memberi kepada seseorang pun semata-mata kerana Allah maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan iman."

Hadis Riwayat Abu Daud

Air kencing dan kesihatan

Maksud Warna Air Kencing

Kita selalu perasaan air kencing kita, kadang-kadang putih jernih, kadang-kadang kuning. Ada masa tertentu, kuningnya sangat pekat. Belum lagi warna air kencing yang pelik ketika hamil. Ada juga yang menghidapi air kencing kotor.

Warna dan bau air kencing membawa makna yang penting tentang status kesihatan anda. Buah pinggang ialah organ yang bertanggungjawab menghasilkan kencing. Warna kuning pada air kencing pula disebabkan oleh pigmen yang disebut urochrome Warna air kencing yang normal ialah kuning pucat.

Tahukah anda, tubuh manusia normal memerlukan sekurang-kurang 8-10 gelas air masak sehari ? Ia penting untuk mengelakkan tubuh kita daripada dehidrasi. Maksud dehidrasi adalah satu keadaan di mana tubuh kita kekurangan air.

Air Kencing Warna Jernih
Bermaksud air dalam tubuh anda lebih dari cukup. Ini adalah baik. Walaubagaimanapun air kencing warna jernih juga boleh disebabkan oleh penyakit Hepatitis dan Diabetes.

Air Kencing Warna Kuning Terang
Disebabkan oleh pengambilan supplement vitamin tambahan seperti Vitamin B2 dan Riboflavin. Jangan risau, warna air kencing seperti ini baik dan menunjukkan tubuh anda menggunakan vitamin dengan betul.

Air Kencing Warna Oren
Pengambilan ubat-ubatan tertentu menyebabkan kencing berwarna oren. Kencing berwarna oren juga boleh disebabkan oleh dehidrasi atau tubuh tidak cukup air. Kurangnya air dalam tubuh menyebabkan konsentrasi urochrome menjadi pekat.

Air Kencing Warna Kuning Gelap
Bermakna tubuh anda mengalami dehidrasi(kekurangan air) yang teruk. Sila minum air masak dengan segera.

Air Kencing Warna Hijau
Mungkin terdapat jangkitan pada pundi kencing. Jika berwarna hijau terang, ia disebabkan oleh Vitamin B berlebihan. Pewarna makanan juga boleh menukar warna air kencing kepada hijau. Bahkan makanan semula jadi seperti asparagus juga boleh menyebabkan kencing berwarna hijau.

Air Kencing Warna Biru
Kemungkinan ada jangkitan pada pundi kencing atau kerana Vitamin B dan Calcium berlebihan. Ubat-ubatan tertentu juga menjadi punca warna kencing biru.

Air Kencing Warna Coklat
Menunjukkan keadaan kesihatannya teruk. Jika air kencing anda berwarna coklat segeralah berjumpa doktor. Ini adalah tanda-tanda penyakit Hepatitis, penyakit buah pinggang, Hemolytic anemia dan lain-lain.

Air Kencing Warna Merah Pucat
Jika kencing berwarna kemerahan, kemungkinan ada darah dalam urin itu. Kehadiran darah itu mungkin disebabkan oleh jangkitan saluran kencing, batu karang, penyakit buah pinggang atau ketumbuhan pada pundi kencing.

Air Kencing Warna Kelabu (Grayish)
Boleh menjadi pelopor kepada batu karang. Batu karang biasanya bermula sebagai debu mikroskopik, tetapi juga begitu besar sehingga mereka tidak dapat dijelaskan apabila kesakitan membuang air kecil. Minum air yang mencukupi (dengan jus lemon jika perlu), senaman yang mencukupi dan mengambil vitamin tambahan boleh memberi manfaat. Jika anda mengalami sakit atau pedih semasa kencing anda lebih baik sebagai langkah berjaga-jaga, dan jumpa doktor.

Air Kencing Warna Putih Susu
Menunjukkan phosphaturia. Phosphaturia adalah satu tahap peningkatan garam fosfat dalam air kencing. Phosphaturia tidak semestinya berbahaya. Ia boleh merengsa dan dalam beberapa kes batu buah pinggang. Hubungi doktor anda sebagai langkah berjaga-jaga. Air kencing putih juga mungkin menandakan kebocoran atau limpahan sistem limfa untuk saluran buah pinggang atau kencing (chylurie). Ini terutamanya biasa di plasmacytoma hyperfosfaterurie dan mengekang. Air kencing keruh susu biasanya menunjukkan kepada pyuria (sel darah putih dalam air kencing)

Air kencing juga mempunyai perubahan bau

Berikut adalah beberapa sebab-sebab bau air kencing boleh berubah:
– Ubat-ubatan atau suplemen
– Makanan tertentu terutamanya asparagus. Asparagus terkenal dengan menyebabkan bau busuk, eggy atau “cabbagy” yang terhasil daripada sebatian sulfur dipanggil methyl mercaptan (juga terdapat dalam bawang putih).
– Jangkitan air kencing.
– Diabetes yang tidak terkawal diketahui boleh menyebabkan air kencing berbau dan mempunyai manis buah-buahan. Pada masa lalu, doktor akan diagnosis penghidap diabetes dengan menuang air kencing ke dalam pasir untuk melihat jika ia sudah cukup manis untuk menarik minat semut.

BERSEGERALAH KE TANDAS JIKA RASA INGIN MEMBUANG AIR KENCING
Kekerapan membuang air kencing yang normal adalah dalam 7 hingga 8 kali sehari bergantung kepada jumlah air yang anda minum.

Peningkatan kekerapan kencing juga boleh boleh disebabkan oleh:
1) Pundi kencing terlalu aktif
2) Pengambilan kafein
3) Jangkitan saluran kencing
4) Cystitis celahan
5) Pembesaran prostat
6) Kencing manis.
7) Salah satu daripada beberapa penyakit neurologi.

Sumber infografik dari Klinik Cleveland di bawah ini sangat berguna. Ia memberikan informasi dalam bentuk grafik tentang air kencing. Sudah tentu, jika anda bimbang tentang warna air kencing anda, disyorkan agar segera berjumpa doktor berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Ahad, 17 Januari 2016

Jujur

Tauhid Tasauf menghasilkan manusia yang jujur kepada Allah dan dirinya sendiri. Tasauf menghilang kepura-puraan. Ramai manusia nampak alim, baik disisi manusia tetapi bila bersendirian, penuh kegelapan. sebenarnya mereka tidak jujur !

Buku kehidupan

Manusia itu seperti Sebuah. "Buku"....
Cover depan adalah tanggal lahir. Cover belakang adalah tanggal kematian.

Tiap lembarnya, adalah tiap hari dalam hidup kita dan apa yg kita lakukan.
Ada buku yg tebal,
ada buku yg tipis.

Ada buku yg menarik dibaca,
ada yg sama sekali tidak menarik.
Sekali tertulis, tidak akan pernah bisa di'edit' lagi.

Tapi hebatnya,
seburuk apapun halaman sebelumnya, selalu tersedia halaman selanjutnya yg putih bersih, baru dan tiada cacat.

Sama dengan hidup kita, seburuk apapun kemarin,
Allah menyediakan hari yang baru untuk kita.

Kita diberi kesempatan baru untuk melakukan sesuatu yg benar dalam hidup kita setiap harinya.
Kita bisa memperbaiki kesalahan kita dan melanjutkan alur cerita ke depannya sampai saat usia berakhir, yang sudah ditetapkanNYA.

Terima kasih Ya Allah untuk hari yg baru ini..
Syukuri hari ini....
dan isilah halaman buku kehidupanmu dgn hal2 yg baik semata.
Dan, selalu lah bertanya kepada Allah, tentang apa yang harus ditulis tiap harinya.

Supaya pada saat halaman terakhir buku kehidupan kita selesai, kita dapati diri ini sebagai pribadi yg berkenan kepadaNYA.
Dan buku kehidupan itu layak untuk dijadikan teladan bagi anak2 kita dan siapapun setelah kita nanti.

Selamat menulis di buku kehidupan kita.
Menulislah dengan tinta cinta dan penuh rasa kasih sayang, serta pena kebijaksanaan, dgn tdk ada kesombongan dan keangkuhan.

Jumaat, 8 Januari 2016

Hadis


Surah Al-Hadid, Verse 16:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

Isnin, 4 Januari 2016

Bila berlaku kematian

Utamakan syariat, bukan cakap-cakap orang.

Utamakan yang wajib sebelum melakukan yang sunat. Kemudian, utamakan yang sunat, ke atas sesuatu yang harus.

Sebelum hadirnya ‘bisik-bisik’ tentang mengadakan majlis kenduri tahlil (bila, berapa hari, menu apa dan katering mana) bagi si mati, para waris HENDAKLAH :

1) Mengenal pasti aset DAN waris-waris si mati

Ha!?

Tanah kubur masih merah dah tanya pasal harta!?

Ya, sebab barangkali ada hak orang lain iaitu hutang yang wajib dibayar

Waris hendaklah mencari (dan menggeledah sekiranya perlu) untuk mengumpul segala dokumen berkaitan aset-aset:

Geran tanahBuku akaun simpananPolisi takaful / insuransSenarai saham-sahamDan harta-harta lainnya

Dan tidak lupa juga senarai waris-waris si mati.

Kenal pasti juga jika sekiranya si mati ada membuat wasiat atau deklarasi hibah. Simpan semuanya dengan baik dan nanti saya tunjukkan, dalam artikel seterusnya, ke mana dokumen-dokumen ini harus dikemukakan.

Waktu yang paling baik untuk menguruskan harta pusaka adalah sejurus selepas selesai urusan pengkebumian si mati (kita anggapkan kematian berlaku dalam situasi normal). Tetapi, memandangkan kematian tidak dapat lari dari suasana pilu penuh emosi maka kebiasannya waris menangguhkan urusan ini sementara menunggu emosi reda dan stabil.

Namun begitu, harus diingat, setiap kali bertangguh tentu ada risikonya. Antaranya, kemungkinan dokumen hilang (akibat bencana tak terduga) atau waris-waris sudah beransur pulang dan sukar mencari peluang berbincang.

Paling penting, akan berhadapan risiko kematian di kalangan waris yang akan menyebabkan urusan harta pusaka menjadi berlapis.

Kematian adalah perkara pasti, yang berlaku tidak mengira usia dan masa.

2) Mengenal pasti hutang-hutang si mati

Hutang tidak diwarisi.

Tetapi hutang si mati wajib dibayar.

Sama ada dengan harta si mati atau dengan harta pihak ketiga. Dan sudah tentu waris terdekat yang mesti bertanggungjawab menguruskannya. Takkan si mati perlu bangkit dari kubur untuk bayar hutang ?

i. Hutang si mati dengan institusi kewangan

Sekiranya si mati diketahui ada membuat pinjaman dengan institusi kewangan, cuba semak dalam perjanjian sekiranya hutang tersebut dilindungi insurans/takaful.

ii. Hutang si mati dengan kawan, jiran dan saudara mara

‘Hutang-hutang kecil’ dengan jiran atau kawan si mati pula, waris boleh buat catatan dan sekiranya mampu waris boleh dahulukan pembayaran hutang tersebut dan tuntut semula dalam tuntutan dalam pusaka si mati kelak.

Kalau waris hendak halalkan (sebab tolong bayarkan hutang) pun tidak menjadi salah, bahkan lebih baik. Begitu juga jiran dan kawan yang disebutkan tadi.

Tapi, suka saya hendak tegaskan bahawa hal hutang ini ada tatacaranya. Janganlah mentang-mentang jiran, mentang-mentang waris main ‘assume’ sahaja orang hendak menghalalkan. Mesti tanya dahulu. Biar terang, biar jelas.

iii. Hutang si mati dengan waris

Selanjutnya hutang si mati terhadap waris adalah kes yang agak sering menjadi punca persengketaan.

Sebab itulah hukumnya adalah sunat agar membuat perjanjian hutang hatta sesama ahli keluarga. Sekiranya jelas si mati pernah berhutang kepada waris, maka ia mesti ditolak dahulu sebelum pembahagian harta pusaka dibuat. Walaupun hutang itu hutang terhadap waris (jantina waris tidak menjadi isu dalam hal hutang ini) yang juga nantinya akan menerima juga bahagian harta pusaka si mati.

Dalam hal ini akan kelihatan pada permukaan bahawa salah seorang atau sebahagian waris mendapat lebih. Yang selalu menjadi konflik adalah orang yang tidak faham hal ini akan mengata. Kemudian meniup api sengketa. Padahal apa yang diterima terlebih dahulu oleh salah seorang atau sesetengah waris itu bukanlah bahagian pusaka, tetapi hutang si mati itu sendiri terhadapnya/mereka.

iv. Hutang waris terhadap si mati

Waris boleh sahaja menolak bahagian pusakanya untuk melangsaikan hutangnya terhadap si mati.

Tetapi sekali lagi saya jelaskan, apa-apa yang diberi oleh si mati kepada waris ketika hidup sebaiknya dijelaskan kepada semua- sama ada ia hutang, hibah atau memang itu adalah tanggungjawabnya.

Contohnya, si mati menjual sebidang tanah kepunyaannya untuk mendaftarkan anak bongsu (iaitu waris) ke pusat pengajian tinggi. Dengan hasil jualan tanah itu, anak bongsu itu dapat melanjutkan pelajaran dan akhirnya beroleh peluang pendapatan yang lebih baik.

Persoalannya, apakah anak bongsu ini nanti akan dikecualikan daripada menerima bahagian pusakanya ?

Jawapanya berbeza, bergantung kepada niat si mati ketika hidup.

Jika dia berniat penjualan tanah sebagai hutang anak kepadanya, maka sediakan dokumen hutang sewajarnya. Dalam hal ini abaikan hubungan ibu-bapa dan anak tetapi tulis sebagai pemiutang dan penghutang.

Tetapi jika tidak ada sebarang dokumen, tidak ada sebarang kenyataan yang dapat dibuktikan, anggapan terbaik adalah hasil jualan tanah itu adalah hibah (kerana diberikan oleh si mati ketika masih hidup) dan tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang pendidikan kepada si anak. Tanpa bukti-bukti jelas bahawa ia adalah hutang maka YA, anak bongsu tersebut masih berhak menerima bahagian pusakanya.

Oleh itu, sebelum harta pusaka dibahagi-bahagikan adalah penting sekali waris mengetahui hutang si mati dengan manusia (institusi kewangan, waris dan bukan waris) dan juga hutang si mati dengan Allah.

Memandangkan hal hutang ini agak kompleks juga maka perkara lain seperti majlis kenduri tahlil, sedekah di surau atau sebagainya lebih baik jika tidak dibincangkan di awal-awal kematian seseorang. Bukan apa, takut termakan hak orang (saya tak akan bincangkan hukum-hakam majlis tahlil di sini). Kalau ada yang sudi menaja tak mengapalah.

3) Memastikan harta pusaka tidak dibahagi-bahagikan secara melulu

Yang biasa berlaku adalah, selepas kematian tiba-tiba barang-barang si mati terus sahaja dibahagi-bahagikan.

Terutaman barangan peribadi yang mempunyai harga seperti barang kemas, pinggan mangkuk, dan kain baju.

Tiba-tiba sahaja ada seorang yang mengumpul dan pandai-pandai membahagi – “Kau ambil subang, kau pula ambil gelang dan aku ambil kalung.”

Eh, begitu sahaja.

JANGAN.

Jangan terus bahagi (atau terus ambil untuk diri sendiri) walau betapa sentimental sekalipun barangan tersebut.

Jangan juga kerana anda anak perempuan tunggal dalam keluarga maka terus dianggap barang kemas anda yang punya.

TIDAK.

Barang-barang tersebut masih perlu dinilaikan dan dibahagi mengikut kadar yang sewajarnya. Kain batik, kain pelekat dan kain songket si mati juga TIDAK harus keluar dari rumah dengan alasan ‘sedekah ke orang yang tolong pengkebumian’ katanya.

Hal-hal sedekah ini nanti dulu. Hukumnya sunat. Malah boleh jadi haram, jika atas harta tersebut ada hak orang lain.

Urusan hutang si mati dan hak waris-waris harus diutamakan. Hukumnya wajib.

Artikel ini ditulis oleh Cik Puan Naziatul Azrin. Seorang pengamal undang-undang di Ipoh, Perak. Berpengalaman mengendalikan urusan harta pusaka muslim dan bukan muslim termasuk penulisan wasiat, probet, suratkuasa mentadbir, pindahmilik dan transaksi lain melibatkan harta yang dipegang oleh pentadbir dan pemegang amanah. Juga mempunyai pengalaman luas berurusan dengan Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Amanah Raya Berhad dan kes-kes melibatkan pertikaian dan deklarasi harta pusaka di Mahkamah Sivil.

  

Sabtu, 2 Januari 2016

Dosa purba

Pengalaman belajar English bersama pelajar dari pelbagai negara membuka ruang kepada saya untuk melihat dunia dengan lebih luas. Saya bertemu dengan ramai manusia yang berstatus Muslim, tetapi mempunyai pelbagai wajah.

“Saya sudah merasa beberapa jenis alkohol di Malaysia. Menarik sekali.” Seorang Muslim Iran yang pertama kali keluar dari negaranya bercerita penuh bangga. Kelab malam di ibu kota Kuala Lumpur dirayapi setiap malam.

“Tiadakah arak di Iran, sehingga kamu terpaksa meminumnya di sini?” Saya membalas.

“Ada, tetapi dijual secara haram. Sukar didapati.” Lelaki 10 tahun muda daripada saya itu menjawab. Kemudian dia menyambung, “saya rasa ingin tukar mazhab. Jadi Sunni mungkin lebih mudah daripada menganuti Shiah.” Dia menambah yang dirinya begitu tertarik dengan keterbukaan negara Sunni seperti Malaysia, yang bebas untuk membuat dosa apa sahaja.

Bodoh! Hati saya membentak.

“Kamu hendak ikut saya pada malam ini?” Anak muda Iran itu mengajak rakan sebelah kirinya, seorang Russian setelah tahu saya adalah seorang Sunni yang taat. Hampir setiap hari dia akan bercerita tentang kelab malam yang baru dikunjungi, arak dan makanan haram yang diratah di bumi Malaysia ini.

Kehidupan sosial yang beraktivitikan maksiat.

Kelab Sosial Pelbagai Nama dan Jenama

Kelab hiburan, diperindahkan sebutannya oleh P. Ramlee sebagai Kalabul Malami, memang destinasi yang menjadi pilihan bagi hati-hati yang menggemarinya. Malahan, media dan produksi tv di Malaysia tidak jemu memaparkan kelab malam sebagai destinasi pelepas tekanan perasaan, penghilang penat dan pengubat masalah hidup yang membelenggu. Medan pertemuan manusia socialite ini hanya beroperasi apabila menjelang malam hari, malah pengusaha di Malaysia menjadi terlebih Barat dengan membukanya sehingga lewat pagi. Malah, pada tahun 2010, terdapat menteri Malaysia yang hilang pedoman dengan memperuntukkan sejumlah dana kepada industri kelab hiburan bagi menarik minat pelancong luar. Nampaknya, budaya ‘clubbing’ tidak pernah hilang pada dada para pencinta dan pejuang maksiat. Budaya ini akan terus dipertahankan dalam jalur kehidupan mereka.

Lebih malang, apabila terdapat serbuan daripada pihak berkuasa agama terhadap kelab hiburan, pelbagai pihak bangkit mengkritik. Para liberalis akan kepanasan berhujah bahawa kesalahan moral tidak patut diangkat sebagai suatu perundangan, malah dosa peribadi tidak patut diambil tahu oleh pemerintah negeri. Para kapitalis pula asyik mengira figur kerugian yang tidak pernah ditunjukkan dengan kajian empirikal. Para pendukung sekularis juga bersuara sumbang mengkritik negara ini jangan cenderung mengikut jalan Taliban. Dunia moden ini menyaksikan pendosa dan ahli maksiat seringkali kelihatan terbela.

Tempat-tempat berkumpul ini tidak hanya berjenama kelab malam atau kelab hiburan. Malahan, ada juga berlabelkan pusat kesihatan, pusat kecergasan dan rumah kelab. Namun, kandungan dan aktivitinya sama.

Dosa Purba

Sebenarnya, cara hidup ber‘clubbing’ yang sering dilihat moden itu adalah maksiat purba yang telah lama wujud dalam peradaban manusia. Aktiviti yang kelihatan ‘cool’ itu adalah warisan daripada Kaum Nabi Lut.

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ

Maksud: Kalian melakukan hubungan seks bersama lelaki, merompak di jalanan dan mendatangi tempat pertemuan untuk melakukan munkar. (al-Ankabut: ayat 29)

Kebanyakan kita hanya tahu bahawa kemurkaan Allah yang menimpa Kaum Nabi Lut disebabkan oleh kecenderungan orientasi seksual mereka yang melawan fitrah yang ditetapkan Allah. Sebenarnya, mereka turut melakukan dua lagi dosa iaitu merompak dan mendatangi kelab pertemuan untuk melakukan maksiat dan mungkar, sebagaimana yang diterangkan dalam ayat di atas. Apabila Nabi Lut berdakwah kepada mereka untuk meninggalkan tiga maksiat tersebut, mereka mencabar Allah dan Rasul-Nya agar segera menurunkan azab yang diancam ke atas mereka.

Ayat di atas juga menjelaskan bahawa manusia sudah ber’clubbing’ semenjak zaman dahulu lagi dan bermaksiat di dalamnya. Perkataan ‘nadi’ itu bermaksud tempat pertemuan orang untuk berkomunikasi, sebagaimana dijelaskan oleh al-Isfahani. (al-Isfahani, al-Mufradat fi Gharib al-Quran, Lubnan: Dar al-Makrifah, jil. 1, hlm. 486) Perkataan mungkar dalam ayat itu pula ditakrifkan oleh al-Isfahani sebagai setiap perbuatan yang dinilai oleh akal yang sihat sebagai suatu yang buruk atau jika tidak ditetapkan oleh akal tentang keburukan dan kebaikannya, syariat telah menganggapnya sebagai suatu yang buruk. (al-Isfahani, al-Mufradat fi Gharib al-Quran, Lubnan: Dar al-Makrifah, jil. 1, hlm. 505) Rumusannya, perbuatan berkumpul di suatu tempat pertemuan untuk melakukan kemungkaran telah lama dijadikan budaya hidup Kaum Lut. Apabila menyebut kemungkaran, segalanya terhimpun di tempat itu, sama ada meminum arak, menikmati seks terlarang mahupun berjudi.

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa “kaum Lut melakukan dan membicarakan sesuatu yang tidak wajar di tempat pertemuan mereka yang mereka berkumpul padanya dan tidak mengingkari perbuatan mungkar yang dilakukan antara satu sama lain.” Terdapat banyak pandangan ahli tafsir tentang jenis kemungkaran yang Kaum Lut lakukan. Mujahid berpandangan bahawa Kaum Lut melakukan hubungan seksual di hadapan khalayak awam. Terdapat juga pendapat yang mengatakan mereka suka melaga binatang (bagi tujuan perjudian). (Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Beirut: Dar al-Fikr, 1401H, jil. 3, hlm. 412) Terdapat suatu hadith yang menerangkan maksud ayat ini. Ummu Hani’ melaporkan bahawa:

سألت رسول الله عن قوله تعالى ( وتأتون في ناديكم المنكر ). قال: يخذفون أهل الطريق ويسخرون منهم .

Aku bertanya kepada Rasulullah tentang maksud ( وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ ).

Baginda menjawab: “Mereka melontar batu kepada pengguna jalan raya dan mengejek-ngejek mereka.” (Muhammad bin Isa, Sunan al-Tirmizi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath, jil. 5, hlm. 342, no. Hadith: 3190. Dihukumkan sebagai hasan oleh al-Tirmizi.)

al-Mubarakfuri ketika memberi komentar terhadap hadith di atas telah mengumpulkan pelbagai pendapat tentang jenis kemungkaran yang dilakukan oleh Kaum Nabi Lut, sebagaimana yang disenaraikan oleh Ibn Kathir. Selain kemungkaran yang dinyatakan oleh hadith di atas, Aisyah melaporkan bahawa mereka melakukan hubungan seks sesama lelaki secara terbuka di hadapan orang di tempat itu. (al-Mubarakfuri, Muhammad Abd al-Rahman bin Abd al-Rahim. Tuhfat al-Ahwazi, Beirut: Dar al-Kitab al-Ilmiyah, jil. 9, hlm. 36.)

Daripada perbincangan ini, jelaslah bahawa setiap perbuatan mungkar yang dilakukan di suatu tempat secara beramai-ramai sememangnya mendapat kemurkaan Allah. Ini kerana maksiat dan kemungkaran itu dilakukan secara terbuka, malah pelakunya merasa bangga serta tiada seorang pun menegur antara satu sama lain agar perbuatan itu dihentikan. Maksiat ‘clubbing’ yang klasik ini nampaknya terus bertahan di dunia moden dan tidak banyak inovasi yang ditawarkan oleh syaitan. Ringkas sahaja, arak, judi, muzik dan seks!

Hidup bersosial tanpa dosa

Mengapa perlu bersosial di premis penuh fitnah dan membuka pintu kepada pelbagai dosa?

Tidak salah untuk duduk berkumpul, berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama. Ini kerana manusia memang dicipta Allah sebagai makhluk yang suka bersosial. Namun, interaksi sesama manusia perlulah berada atas landasan taqwa, iaitu rasa takut kepada Allah. Manusia yang berhubung dengan manusia lain atas dasar takut kepada Allah akan mencetuskan momentum untuk lebih dekat kepada Allah.

Hakikatnya, manusia berhubungan mengikut kecenderungan rohnya. Kaki masjid akan selesa berbicara dengan orang yang turut suka menghidupkan masjid. Manakala, ahli maksiat akan lebih gembira untuk melakukan dosa apabila duduk bersama-sama rakan sejenisnya. Dua jenis manusia ini sukar sekali berhubung hati. Inilah maksud bagi hadith yang dinyatakan oleh Rasulullah:

الْأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ فما تَعَارَفَ منها ائْتَلَفَ وما تَنَاكَرَ منها اخْتَلَفَ

Maksud: Ruh adalah seperti bala tentera yang terkerah, maka sesiapa yang mereka kenali, mereka akan bersamanya. Dan sesiapa yang mereka tidak kenali, mereka tidak akan bersama. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 3, hlm. 1213, no. Hadith: 3158.)

Kita punya pilihan untuk memilih untuk bersosial bersama ‘roh’ yang bagaimana dan di mana.

Padang tandus

Seorang pemuda lalu disebuah negeri... Kekecohan sedang berlaku.. Lalu si pemuda pergi menyiasa t..

Rupanya mereka dalam proses melantik raja.. Yg peliknya.. Seorang pun x sanggup menjadi raja atau pemerintah negara tersebut..

Kerana syarat menjadi raja atau pemerintah adalah... Sesiapa yg dilantik menjadi raja atau pemerintah.. Dia akan dibuang negara di padang tandus selepas 10 tahun memerintah..

Pemuda tadi mengangkat tangan.. 'saya sanggup!' Maka dia dilantik menjadi raja /pemerintah negara itu. Org ramai mengatakan pemuda ini bodoh.. Hilang akal. Tamak pangkat dan sbgnya.

Pada tahun pertama sang pemuda menjadi pemerintah.. Dia menghantar orang untuk meninjau tanah tandus yg bakal dia dibuang selepas 10 tahun..

Tahun kedua.. Pemuda mula menghantar jurutera utk membina jalan:

Tahun ketiga.. Menghantar expert dlm bidang pertanian utk bercucuk tanam

Tahun ke empat engineer mula membangunkan bangunan bangunan canggih dan seterusnya..

Sehingga tahun ke 10..

Pemuda tersebut tidak sabar utk dibuang negeri..

Masanya tiba.. Beliau sudah bersedia..
Kerana....

Sang pemuda tahu.. Dia sudah menghantar 'bekalan' terlebih dahulu sebagai persediaaan..

Kesimpulannya..
Ibarat hidup kita.. Kita tahu yg kita akan 'dibuang' ke 'tempat itu'

Sudahkah kita mengirimkan bekalan?
Adakah tempat itu padang tandus..
Atau sudah kah kita semai benih benih yg akan menjadi pohon rimbun?

Sudah kah kita kirim 'bahan binaan' utk membina sebuah mahligai yg akan kita diam? Atau biarkan saja ia kekal sebagai padang tandus..

INGATLAH.......

GAMBARAN SYURGA KITA DIAKHIRAT NANTI, ADALAH SAMA SEPERTI LUKISAN YG KITA LUKIS SEMASA KITA DIDUNIA INI.

Feature Post

MEDICAL CARD - APA YANG PATUT ANDA TAHU ?

Perkara penting yang perlu anda faham mengenai MEDICAL CARD. 1. Kekerapan Lawatan doktor Sesetengah polisi perubatan hanya menghadkan la...

Popular Post